Pengenalan

Pertubuhan Seni Silat Kuntau Selendang Merah Malaysia atau dikenali dengan nama Gerakan Selendang Merah telah didaftarkan pada 5 Januari 2000 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan WPKL. Pertubuhan ini diasaskan oleh yang berbahagia Datuk Hj Baharom bin Hj Kamari selaku Guru Utama dan penaung. Pertubuhan ini mencakupi gerakan beladiri, dakwah, persaudaraan dan keselamatan, ekonomi, sosial dan perkembangan ilmu pengetahuan serta membina rangkaian.
Tujuan utama Gerakan Selendang Merah ialah menyatupadukan bangsa Melayu berteraskan semangat jati diri sejati (semangat jihad) bangsa Melayu. Semangat jihad ini diwarisi dari pejuang-pejuang Islam khususnya daripada bangsa Melayu itu sendiri iaitu Kiai Panglima Haji Salleh (Kiyai Salleh), Panglima tentera Selempang Merah atau Selendang Merah yang menentang komunis di Tanah Melayu. Perjuangan Panglima Kiai Salleh telah mendaulatkan maruah agama Islam serta bangsa Melayu dari ancaman komunis dan kuncu-kuncunya.
Pemupukan semangat jati diri sejati (semangat jihad) dimulakan dengan aktiviti beladiri iaitu Seni Silat Kuntau Selempang Merah. Gerakan silat ini merupakan gerakan yang mudah dipelajari, cepat mahir dan mampu membela diri dari ancaman musuh dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran. Ia juga meningkatkan keyakinan diri yang sejati.
Pertubuhan ini yakin ramai orang-orang Melayu mempunyai semangat jatidiri. Ianya mampu disatukan semula dengan lebih terancang demi perjuangan agama, bangsa dan negara yang tercinta.